Hukum Kepler Tentang Gerakan Planet -Siri 1

Oleh : Shahrul Kadri

Salah satu topik baharu dalam KSSM Fizik Tingkatan 4 bermula pada tahun 2020 ialah Standard Kandungan 3.1 Hukum Kepler terletak di bawah tema Mekanik Newton. Hukum Kepler diterbitkan pada abad ke-16 oleh ahli astronomi Jerman iaitu Johannes Kepler yang menganalisis data-data cerapan ahli astronomi Denmark, Tycho Brahe. Hukum ini dapat memerihalkan gerakan planet-planet dalam sistem suria.

Hukum Kepler ini menggantikan Teori Heliosentrik yang dicadangkan oleh Nicolas Copernicus di awal abad ke-15 yang menyatakan planet-planet mengorbit dalam satu lintasan membulat dengan matahari berada di tengah-tengah bulatan. Teori Kepler dapat menjelaskan sebab mengapa halaju mengorbit planet sentiasa berubah yang mana cerapan ini tidak dapat dijelaskan oleh Teori Heliosentrik. Sebelum Teori Heliosentrik pula, ahli astronomi berpegang kepada Teori Geosentrik yang dicadangkan Ptolemy pada awal abad kedua, iaitu Bumi sebagai pusat alam semesta yang dikelilingi oleh objek-objek samawi.

Rajah 1: Model teori geosentrik meletakkan Bumi sebagai pusat alam semesta [Wikimedia Commons].
Rajah 2: Model teori heliosentrik meletakkan Matahari sebagai pusat bulatan orbit lintasan planet-planetnya. Petikan dari  De revolutionibus orbium coelestium (Putaran Pengorbit) [Wikimedia Commons]
Rajah 3: Model Hukum Kepler yang memperihalkan planet mengorbit matahari dalam lintasan elips [Wikimedia Commons].

Hukum Kepler I menyatakan bahawa orbit bagi setiap planet adalah elips dengan matahari berada di salah satu titik fokusnya. Menurut hukum ini, lintasan planet mengelilingi matahari adalah berbentuk elips. Elips ialah satu bentuk geometri dengan dua titik fokus. Untuk menggambarkan situasi ini, lakaran elips boleh dilakukan di dalam bilik darjah seperti yang ditunjukkan di dalam video berikut:

Sumber -Youtube/ShahrulKadri

Apakah kepentingan Hukum Kepler I ini? Walaupun hukum ini diaplikasikan kepada sistem suria, ia juga dapat digunakan untuk meramalkan jika bintang yang lain selain matahari mempunyai planet-planet yang mengorbitnya. Oleh kerana planet-planet ini amat jauh, maka lintasan pada bintang induknya akan menyebabkan seolah-olah bintang tersebut bergoyang (cahaya bintang yang sampai ke bumi terganggu kerana dihalang planetnya). Dengan pengukuran termaju, ahli astronomi dapat mengesan kehadiran planet-planet ini melalui perkalaan lintasan planet pada bintangnya. Namun, proses pengukuran ini sudah tentulah amat rumit dan mengambil masa yang lama untuk ditentusahkan. Namun, Hukum Kepler I memberikan  panduan yang kukuh dalam pengukuran ini.

Selain itu, satelit buatan manusia yang dilancarkan untuk mengorbit bumi juga mematuhi hukum ini. Maka, sistem telekomunikasi bergantung kepada kedudukan satelit ini relatif kepada bumi.

Hukum Kepler 1 ini juga dikenali sebagai Hukum Elips. Siri artikel berikutnya akan bersambung berkenaan Hukum Kepler II iaitu tentang halaju mengorbit planet.

Rujukan:

KSSM Fizik Tingkatan 4, Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, Terbitan 2018

Daftar istilah

Lintasan                 –       path

Ahli astronomi      –       astronomer

Sistem suria          –       solar system

Elips                        –      ellipse

Heliosentrik            –     heliocentric

Geosentrik              –     geocentric

Planet                      –     planet

Matahari                 –     Sun

Bumi                        –    Earth

Utarid                       –   Mercury

Zuhrah                     –    Venus

Musytari                  –    Jupiter

Zuhal                        –   Saturn

Bulan                        –   Moon

Jasad samawi        –    Celestial object

Kongsikan artikel ini: