Imran Mustafa
Universiti Malaya
LASER adalah akronim untuk “Light Amplification by Stimulated Emission of Radiation” ataupun Penguatan Cahaya oleh Sinaran Pancaran Terangsang. Laser ialah sumber cahaya luar biasa yang agak berbeza berbanding cahaya dari lampu pijar dan lampu denyar. Laser menghasilkan alur cahaya yang sempit yang berguna dalam banyak teknologi dan instrumen, bahkan mungkin digunakan di rumah anda!
Bagaimanakah laser berfungsi?
Cahaya bergerak dalam bentuk gelombang, dan jarak antara dua puncak gelombang dipanggil panjang gelombang.

Setiap “warna” mempunyai panjang gelombang yang berbeza. Sebagai contoh, cahaya biru mempunyai panjang gelombang yang lebih pendek berbanding cahaya merah. Cahaya matahari ataupun cahaya daripada lampu mentol yang biasa terdiri daripada cahaya dengan pelbagai panjang gelombang. Mata kita mentafsir cahaya campuran pelbagai panjang gelombang ini sebagai cahaya putih.

Laser tidak terhasil secara semula jadi. Laser menghasilkan alur sempit yang cahaya di mana semua gelombang cahaya mempunyai panjang gelombang yang hampir sama. Gelombang cahaya laser bergerak bersama-sama dengan puncak gelombang yang sama, atau sefasa. Ini menyebabkan alur laser sangat sempit dan dengan keamatan cahaya laser sangat terang, membolehkan ianya difokuskan kepada kawasan yang sangat kecil.

Oleh kerana cahaya laser kekal terfokus dengan alur yang sama dan tidak banyak tersebar (seperti lampu suluh), sinar laser boleh menempuh jarak yang sangat jauh dan mampu memfokuskan tenaga yang banyak dalam satu kawasan yang sangat kecil.

Laser mempunyai banyak kegunaan. Ia digunakan dalam alat-alat berketepatan tinggi dan boleh digunakan untuk memotong berlian atau logam tebal, selain membantu dalam pembedahan rumit. Laser juga digunakan untuk rakaman dan mendapatkan maklumat. Ia digunakan dalam komunikasi dan membawa isyarat TV dan internet. Laser boleh dijumpai dalam pencetak laser, pengimbas kod bar, dan pemain DVD. Ia juga membantu dalam pembuatan komponen komputer dan elektronik lain.
Laser juga digunakan dalam instrumen yang dipanggil spektrometer. Spektrometer boleh membantu para saintis menentukan unsur kimia sesuatu bahan. Sebagai contoh, Rover Curiosity NASA menggunakan spektrometer laser untuk menentukan jenis bahan kimia yang wujud dalam batu tertentu di Marikh.

Berapa misi NASA telah menggunakan laser untuk mengkaji gas di atmosfera bumi. Laser juga telah digunakan dalam instrumen yang memetakan permukaan planet, bulan, dan asteroid.
Bahkan, para saintis mengukur jarak antara bulan dan Bumi menggunakan laser! Ini dilakukan dengan mengukur jumlah masa yang diperlukan untuk pancaran laser untuk pergi dan balik dari bulan!
Sumber: https://spaceplace.nasa.gov/laser/en/