Majlis Apresiasi Kecemerlangan Mahasiswa Fizik (MAKef) UPM rai Pelajar Cemerlang

Laporan: Nurul Athikah Adila binti Zainal


Serdang, 8 November 2019 – Jabatan Fizik di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia buat pertama kalinya telah mengadakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Mahasiswa Fizik (MAKeF) yang bertempat di Dewan Sri Harmoni, Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Putra Malaysia.

Majlis Apresiasi Kecemerlangan Mahasiswa Fizik (MAKeF) anjuran Exco Akademik dan  Intelektual Kelab Mahasiswa Fizik itu diadakan bagi menyuntik semangat dan memotivasikan para pelajar di Jabatan Fizik untuk lebih berusaha dan berjaya dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Majlis itu juga diadakan bagi menghargai usaha dan kerja keras para pelajar yang telah bertungkus-lumus dalam meningkatkan prestasi akademik dan ko-kurikulum mereka.

Ketua Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Suriati binti Paiman dalam ucapan beliau yang juga menyatakan “dengan wujudnya majlis kecemerlangan tersebut  para pelajar dapat bersaing dan lebih bersemangat untuk meningkatkan prestasi mereka”.

Seramai 66 pelajar Jabatan Fizik telah menerima anugerah dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Mahasiswa Jabatan Fizik (MAKeF) pada kali ini. Anugerah – anugerah tersebut ialah Anugerah Ketua Jabatan, Anugerah Quantum Leap, Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Adisiswa Fizik dan beberapa anugerah lain.

Dalam majlis ini, Nur Liyana Khaliesah binti Alias telah dianugerahkan  Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz kerana telah berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum yang diceburinya. Beliau telah menerima sebuah piala pusingan, piala Anugerah Profesor Sidek Ab Aziz dan sijil penghargaan.

Nur Liyana berkata, “pencapaian yang dicapai bukanlah hasil daripada dirinya sendiri, akan tetapi pencapaian itu tercapai hasil bantuan daripada pihak pensyarah dan sahabat- sahabat beliau.” Sebelum mengakhiri ucapan Nur Liyana Khaliesah  menyeru semua pelajar  di Jabatan Fizik untuk bersama-sama berjaya dalam setiap bidang yang diceburi kelak.

Kongsikan artikel ini: