Universiti Malaya Tampil Bersama Kerjasama Antarabangsa Penyelidikan Astronomi Termaju

Penulis: Shaiful Hassan, Nursyazela Badrina Baharin, Murthadza Aznam

Makmal Kosmologi Radio, Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya

Universiti Malaya kini giat mempelopori jalinan kerjasama antarabangsa dalam astronomi melalui penganjuran persidangan bertaraf dunia pada bulan Februari lalu serta perancangan menyertai projek-projek yang bakal menyatukan negara-negara Asia.

Persidangan yang dimaksudkan ialah Simposium Kesatuan Astronomi Antarabangsa ke-377 yang mengumpulkan pakar-pakar terkemuka astronomi dan astrofizik seluruh dunia  bagi membentangkan hasil penyelidikan terbaru mereka dan bertemu para pelajar serta orang awam. Simposium Kesatuan Astronomi Antarabangsa ke-377 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 6 sehingga 10 Februari 2023 anjuran bersama Universiti Malaya dan Planetarium Negara merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan kali pertama diadakan di rantau Asia Tenggara sejak 1990. Persidangan ini menumpu kepada penemuan serta hasil cerapan Teleskop Angkasa James Webb (JWST) yang  mula beroperasi sejak Julai tahun lepas dan dihadiri hampir 200 peserta antarabangsa, termasuk dari Australia, China, Sepanyol, Jerman dan AS.

Persidangan tersebut diiringi Bengkel Musim Monsun serta sesi perkongsian awam. Bengkel Musim Monsun diadakan bagi melatih para pelajar yang baru berkecimpung dalam bidang astronomi dan astrofizik serta ingin menerokai masa depan bidang tersebut. Bengkel tersebut dihadiri peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Jepun, India, Chile, Netherlands serta United Kingdom. Sesi perkongsian awam yang diadakan pada hari ketiga persidangan pula bertujuan untuk mencetuskan minat masyarakat awam dalam bidang sains angkasa.

Sesi perkongsian awam tersebut dibentangkan oleh Prof Geraint Lewis, Prof Karl Glazebrook dan Prof Paul Ho dengan mengenakan tajuk berkaitan evolusi galaksi, hasil cerapan JWST yang menawan, serta usaha panjang para saintis untuk mencerap lohong hitam. Prof. Paul Ho, selaku ketua pengarah kerjasama Balai Cerap Asia Timur (EAO), mengambil peluang dalam perkongsian beliau mengajak Malaysia terlibat dalam kerjasama antarabangsa ini yang setara dengan kerjasama Balai Cerap Selatan Eropah (ESO). Universiti Malaya telah menandatangani Memorandum Persefahaman bersama EAO untuk bertindak selaku institusi pemerhati buat masa ini. Sebuah kumpulan penyelidik yang dipimpin Prof. Dr. Zamri Zainal Abidin di Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Malaya cukup aktif terlibat dalam projek-projek EAO.

Dalam minggu yang sama, Prof. Ho turut dijemput untuk bertemu Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Tuan Haji Azlikamil Napiah bagi membincangkan usul agar Malaysia menjadi ahli penuh EAO. Prof. Ho menegaskan seluruh Asia patut bersatu agar kita berpeluang menjadi sebahagian dari kuasa yang berpengaruh dalam bidang astronomi. “Kita patut melangkah maju bersama. Ini masa yang tepat untuk Malaysia melibatkan diri kerana ekonomi juga dijangka akan semakin mengukuh,” ujar beliau lagi. Menurut MYSA, “melalui usaha kerjasama ini, para penyelidik Malaysia boleh memanfaatkan kemudahan EAO serta berkongsi kepakaran teknikal agar dapat menjadikan Asia sebuah konsortium yang mantap bagi prasarana penyelidikan serta kepakaran sumber manusia dalam astronomi.”

Selepas pertemuan tersebut, Prof. Zamri dari Universiti Malaya turut berkata “para penyelidik universiti ini telah mencurahkan semangat yang tinggi bagi memperluas bidang ini ke peringkat negara dan kami teruja ingin melihat masa hadapan yang lebih cemerlang bagi penyelidikan astronomi dan astrofizik Malaysia”.

Kongsikan artikel ini: