COVID-19, Jantina dan Sains

Oleh: Farah Hazwani binti Abu Bakar

Artikel disunting oleh Shahrul Kadri Ayop

Wabak ini telah mengakibatkan peningkatan tekanan dan pengurangan produktiviti dalam sains. Kesan-kesan tersebut memberi kesan lebih ketara dalam kalangan wanita. 

Farah Hazwani binti Abu Bakar ialah guru di SMK Yan, Kedah dan kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Pendidikan Fizik di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Makalah ini diolah daripada Laura McCullough (2021). “COVID-19, gender, and science” Physics Today (Doi: 10.1063/PT.6.5.20210604a). 

Wabak COVID-19 telah mengubah cara hidup manusia. Dunia penyelidikan turut terkesan dengan wabak ini. Didapati lebih banyak jurnal penyelidikan telah diterbitkan pada dalam jangka masa dunia disebari wabak tersebut. Namun begitu, lebih ramai penyelidik lelaki menghasilkan penerbitan berbanding wanita.

Analisis tak rasmi daripada “arXIV”, iaitu sebuah platform digital yang menghimpunkan artikel dan kajian yang belum diterbitkan, menunjukkan peningkatan penerbitan kajian penyelidikan sebanyak 6.4% dalam kalangan penyelidik lelaki dan hanya 2.4% dalam kalangan penyelidik wanita daripada bulan Mac hingga April 2020 berbanding tempoh yang sama pada 2019. Kurangnya penerbitan boleh memberi kesan terhadap penilaian prestasi kerja dan peluang kenaikan pangkat seseorang penyelidik, terutamanya jika wanita dibandingkan dengan rakan sekerja lelaki mereka.

Oleh itu, penularan COVID-19 memberikan kesan lebih negatif kepada penyelidik wanita berbanding lelaki. Produktiviti penyelidik wanita adalah lebih rendah berbanding lelaki semasa wabak. Perkara ini merupakan antara dapatan tinjauan dalam kalangan ahli akademik wanita Akademi Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Perubatan (STEMM) tentang kesan COVID-19 kepada wanita, lihat Rajah 1.

Rajah 1 :“Kesan COVID-19 terhadap kerjaya Wanita dalam Akademi Sains, Kejuruteraan, dan Perubatan Kebangsaan [Laporan terbitan March 2021, National Academies Press]

Kesan paling ketara ialah peningkatan beban tugas atau jam kerja bertambah dan pengurangan produktiviti. Antara puncanya ialah penutupan makmal, sekatan perjalanan serta standard operasi kesihatan yang perlu dipatuhi. Semua bidang khususnya bidang sains terjejas dari aspek masa serta keupayaan dalam melaksanakan kajian.

Banyak sekolah terpaksa  juga ditutup. Kebiasaannya, golongan wanita akan mengambil tugas penjagaan anak-anak. Kajian pada 2021 oleh Gema Zamarro dan Maria J Prados menunjukkan wanita yang mempunyai anak terpaksa mengurangkan waktu bekerja mereka sebanyak 42% semasa penularan wabak ini.

Selain itu, COVID-19 ini turut menyebabkan pejabat serta institusi pengajian tinggi ditutup seterusnya menyebabkan ramai yang terpaksa bekerja dari rumah. Memang tidak dinafikan bahawa bekerja dari rumah membawa kebaikan tersendiri seperti lebih menjimat kos dan sebagainya. Namun, ramai berpendapat bahawa mereka sukar untuk memisahkan urusan kerja dan peribadi semasa bekerja dari rumah. Menurut Professor Laura McCullough, iaitu profesor fizik di University of Wisconsin–Stout yang mengkaji jantina dan sains, wanita mempunyai lebih kesukaran untuk menyeimbangkan urusan kerja dan rumah berbanding lelaki. Dalam satu kajian perbandingan jantina dalam ketakseimbangan tempat kerja dan rumah pada 2020 oleh Thomas Lyttelton dan rakannya mendapati bahawa selepas tamat waktu bekerja, wanita mempunyai tahap tekanan yang lebih tinggi berbanding lelaki. Ini disebabkan lebih ramai wanita akan mengambil alih tugas menguruskan rumah dan menjaga anak selepas waktu bekerja.

Namun begitu, tidak semuanya yang teruk berlaku dalam keadaan wabak ini. Penganjuran persidangan dalam talian secara maya mula mendapat tempat. Sebagai contoh,  “Persidangan Mahasiswi dalam Fizik”  Conferences for Undergraduate Women in Physics – CUWiPs) telah diadakan secara maya dan membolehkan forum ini boleh diakses oleh lebih ramai peserta dari seluruh dunia. Sebelum ini, CUWiPS hanya diadakan dalam Amerika Syarikat. Namun, disebabkan oleh wabak COVID-19, persidangan ini berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa dengan pendaftaran daripada 17 buah negara. Professor Laura Mccullough menyatakan bahawa semasa sesi persidangan, beliau disertai oleh pelajar wanita daripada Mexico dan Turki serta membuka kepada perbincangan yang lebih luas dan terbuka.

Persidangan secara maya memberi faedah yang besar terutama bagi penyelidik wanita. Persidangan secara fizikal menelan kos belanja yang besar dan menyebabkan ramai penyelidik lebih tertarik kepada persidangan secara maya. Selain itu, golongan ibu bapa turut menghadapi masalah untuk menghadiri persidangan secara fizikal kerana kos tambahan dan rutin penjagaan anak yang tidak menentu. Memandangkan wanita lebih cenderung untuk mengendalikan sebahagian besar tugas penjagaan anak, maka pertimbangan ini lebih memberi kesan kepada golongan itu. Oleh itu, persidangan secara maya merupakan satu kelebihan yang besar buat untuk penyelidik wanita.

Tambahan Professor Laura McCullough lagi, golongan yang paling terjejas disebabkan oleh wabak COVID-19 ialah golongan ibu muda yang mempunyai anak terutama yang masih bersekolah rendah atau lebih kecil. Mereka masih di peringkat awal kerjaya dan perlu menyeimbangkan kerjaya dan keluarga pada zaman COVID-19 yang mencabar ini. Penurunan produktiviti ini boleh menjejaskan pilihan pekerjaan penyelidik pada awal kerjaya, tempoh dan kenaikan pangkat untuk ahli akademik. Selain itu, penilaian prestasi, anugerah dan pengiktirafan juga akan turut terganggu. Oleh itu, Professor Laura McCullough menyarankan supaya pengurus atau pentadbir membuat penilaian prestasi dan kenaikan pangkat secara adil dan saksama. Ini dapat dilaksanakan dengan mengetepikan penilaian pengajaran semasa wabak, mengiktiraf situasi kerja dan keluarga yang unik bagi setiap individu serta merangka pelan berdasarkan data-data yang ada bagi menangani kesan perbezaan jantina yang wujud akibat wabak ini.

Daftar istilah

Wabak                                     – pandemic

Persidangan                         – conference                             

Beban tugas                         – workload

Produktiviti                         – productivity

Pengajaran jarak jauh   – remote teaching

Kongsikan artikel ini: