Isaac Newton: Antara Wabak Maut dan Penemuan Agung

Oleh: Mohd Faudzi Umar

Sedang rakyat Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) untuk mengekang penularan virus Covid-19. Tahukah anda, Isaac Newton pernah menempuhi tempoh kuaratin sepanjang tahun 1665-1667, ketika berlakunya major epidemik di London disebabkan oleh wabak Bubonik. Tempoh epidemik ketika itu dikenali sebagai Wabak Agung (Great Plague) dan menyebabkan Isaac Newton membuatkan keputusan untuk keluar dari Cambridge ke Woolsthorpe, tempat kelahiran beliau. Epidemik ini hampir serupa dan agak kecil berbanding pandemik Maut Hitam atau Black Death (1347 – 1351). Wabak ini di sebabkan oleh bakteria Yersinia pestis yang dibawa oleh pinjal tikus. Oleh itu langkah yang dimbil pun sama dengan sekarang iaitu pengasingan diri (self quarantine) dan menjarakkan diri (social distancing) bagi mengekang wabak.

Newton memperolehi ijazah di Kolej Triniti, Cambridge pada tahun 1665 dan pada tahun yang sama juga kolejnya membuat penutupan sementara bagi mengekang Wabak Agung tersebut. Pada Jun 1665, wabak bubonik menular seluruh London menimbulkan panik terutamanya di pinggir bandar. Dilaporkan sekitar 70,000 kematian di dalam bandar sahaja dan keseluruhannya lebih 100,000 kematian. Oleh sebab itulah Newton pulang ke kampung halaman beliau, di Woolsthorpe lebih kurang 97km dari Cambridge.

Sepanjang tempoh pengasingan diri, Isaac Newton telah membangunkan teori berkenaan kalkulus, optik dan 3 hukum mekanik (pergerakan dan kegravitian). Tanpa bimbingan daripada profesor ketika itu, beliau mengambil langkah pembelajaran kendiri di rumah. Newton menjalankan ujikaji pembiasan cahaya dengan prisma segitiga yang menyerlah spektrum warna pelangi iaitu teori optik. Di samping kerja-kerja fizik, beliau juga terlibat dalam menyumbang hasil kerja berkaitan matematik, iaitu mengitilakkan teori binomial (pengembangan siri kuasa), dilakukan ke atas eksponen bukan integer dan membina kaedah penghampiran ke atas fungsi. Hasil kajian tersebut membawa ke pada teori matematik yang kemudiannya kita kenali sebagai kalkulus.

Rajah 1: Penemuan Isaac Newton iaitu, teori optik, kalkulus dan 3 hukum mekanik

Dari tingkap rumahnya terdapat pokok epal, iaitu kisah di mana beliau duduk di bawah pokok tersebut dan buah epal jatuh atas kepalanya lalu mengilhamkan kefahaman tentang teori graviti dan pergerakan. Walaubagaimanapun, menurut pembantu beliau, iaitu John Conduit memberitahu tentang hal ini bahawa:

” … Sedang beliau berfikir dalam sebuah taman telah masuk ke dalam pemikirannya bahawa kekuatan graviti yang sama (membuatkan buah epal jatuh dari pokok ke tanah) bukan dihadkan kepada satu jarak tertentu dari Bumi tetapi mestilah dilanjutkan lebih jauh lagi daripada selalunya difikirkan. ‘Kenapa tidak setinggi Bulan?’ kata beliau..”

Selepas tempoh pengasingan diri, Newton kembali ke Cambridge pada tahun 1667 dengan tiga teori agung tersebut. Dalam tempoh enam bulan sahaja, beliau dilantik sebagai felo di Triniti pada Oktober 1667 dan dua tahun kemudian menjadi profesor. Boleh dikatakan pengasingan diri itu menyerlahkan kegeniusan Newton dalam menghasilkan material berharga iaitu kefahaman baharu tentang alam semesta. Hal yang sama juga berlaku kepada Shakespeare iaitu wabak melanda sekitar tahun 1593 di London telah menghasilkan dua karya yang tidak kurang hebatnya.

Kesimpulannya disini ialah, jika kita mengunakan cuti Perintah Kawalan Pergerakan sepenuhnya dengan bekerja, mengkaji dan belajar dari rumah iaitu mengambil contoh daripada kisah Newton itu. Mana tahu, daripada wabak ini akan munculnya penemuan agung!

Kongsikan artikel ini: