Wujudkah Makhluk Asing di Angkasa Lepas?

Oleh: Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil

Wujudkah makhluk hidup di angkasa lepas?

Terdapat dua pendekatan yang boleh diambil untuk menjawab persoalan ini, bergantung kepada laras pembaca.

PENDEKATAN PERTAMA

Pendekatan pertama lebih bersimpang-siur dan menuntut kita merayau-rayau sekitar ilmu astrobiologi, iaitu cabang ilmu astronomi yang berusaha mencari makhluk hidup selain di Bumi.

Untuk menyiasat samada wujud atau tidak makhluk hidup di angkasa lepas, kita perlu terlebih dahulu menjawab dua soalan yang lebih asas, iaitu:

Persoalan asas yang pertama adalah apakah faktor-faktor astronomi, geologi, kimia, biologi yang diperlukan untuk hidupan muncul dan berkembang-biak? Ini merupakan persoalan-persoalan yang merangkumi bidang-bidang kaji angkasa, kaji bumi, kaji unsur dan kaji hayat.

Kesemua faktor-faktor ini terangkum dalam sebuah ayat matematik bernama persamaan Drake yang telah diusulkan pada tahun 1960-an oleh seorang ahli astronomi radio Amerika Syarikat, Frank Drake.

Persamaan Drake cuba untuk memperincikan kejahilan kita tentang kewujudan makhluk hidup di angkasa lepas berpandukan beberapa faktor utama, iaitu berapa butir bintang yang lahir di dalam galaksi kita, berapa butir bintang yang memiliki planet mengelilingnya, berapa buah planet yang memiliki ciri-ciri yang dapat menampung kemunculan makhluk hidup, berapa buah planet yang mana makhluk hidup telah muncul dan berkembang-biak, berapa banyak makhluk hidup ini yang memiliki kecerdasan, dan telah membina peradaban yang mempunyai kemampuan dan keinginan mengisytiharkan kewujudan mereka ke serata pelusuk alam semesta, dan akhir sekali, tempoh hayat setiap peradaban makhluk asing sebelum mereka memusnah diri sendiri atau dimusnahkan.

Gabungan kesemua faktor-faktor ini akan memberikan anggaran kasar bilangan peradaban makhluk asing yang menghuni alam semesta, N. Sejak mula diperkenalkan, pelbagai nilai yang dikemukakan untuk N, daripada kurang dari 1 (ertinya manusia satu-satunya peradaban di alam semesta) sehinggalah mencecah ratusan ribu peradaban makhluk asing.

Persoalan asas yang kedua adalah sejauhmanakah faktor-faktor yang mendokong makhluk hidup ini boleh ditemukan di Bulan, di planet-planet dalam kawasan kejiranan Sistem Suria kita, di planet-planet yang mengelilingi bintang-bintang dalam galaksi Bima Sakti kita dan di serata pelusuk alam semesta?

Ringkasnya, kita bukan saja perlu mengetahui apakah ramuan yang diperlukan untuk makhluk hidup muncul dan berkembang-biak, tetapi kita juga perlu mengetahui bagaimana ramuan-ramuan ini berselerak di serata pelusuk alam semesta.

Taburan ramuan-ramuan yang diperlukan untuk makhluk hidup muncul dan berkembang-biak berkait dengan taburan habitat-habitat di alam semesta ini. Adakah ramuan-ramuan ini wujud secara lambak di serata pelusuk alam semesta, ataupun wujud secara jarang dan hanya menyelit di ceruk-ceruk terpencil di alam semesta?

Dua senario yang berlawanan ini — satunya optimis dan satu lagi pesimis — disuarakan oleh dua ahli biokimia, Christian de Duve (meninggal 2013) dan Jacques Monod (meninggal 1976).

Monod mewakili kelompok pesimis apabila beliau menulis dalam bukunya yang bertajuk Chance and Necessity bahawa, “Alam semesta tidak sarat dengan makhluk hidup, sebagaimana biosfera tidak juga sarat dengan manusia” yang membayangkan kemunculan makhluk hidup di alam semesta memerlukan gabungan beraneka faktor yang unik dan jarang berulang.

Manakala de Duve menolak kesimpulan kawan beliau dan menegaskan bahawa “makhluk hidup adalah ketetapan kosmik yang tidak dapat dielakkan” atas hujah bahawa persekitaran Bumi purba yang membolehkan makhluk hidup muncul kini boleh ditemukan di planet dan bulan di serata pelusuk alam semesta.

Justeru, pencarian makhluk hidup di angkasa lepas terkait dengan pencarian habitat-habitat di angkasa lepas.

Berdasarkan hasil penyiasatan kita ke atas haiwan dan tumbuhan di muka bumi, kita sedia maklum bahawa makhluk hidup akan membekaskan tinggalan mereka ke atas persekitaran yang dihuni.

Usikan makhluk hidup ke atas persekitaran mereka ini boleh berupa binaan misalnya sarang, ataupun berbentuk lepasan sebatian kimia misalnya pelepasan gas-gas seperti metana, karbon dioksida dan oksigen, ataupun berbentuk pengurangan satu spesis dan pertambahan satu spesis lain.

Justeru, pencarian habitat-habitat di angkasa lepas dilakukan dengan meneropong usikan-usikan sebegini yang termaktub pada lapisan atmosfera dan permukaan planet dan bulan, samada yang berada di dalam Sistem Suria kita mahupun yang mengelilingi bintang lain.

Laporan pengesanan gas fosfin di lapisan atmosfera planet Zuhrah tahun lepas (2020), gas metana di lapisan atmosfera planet Marikh (sejak 2014), dan penemuan bekas saliran berupa sungai dan lembah yang terukir di permukaan planet Marikh (sejak 1970-an) — ini merupakan contoh hujah-hujah yang menyumbang kepada keghairahan ahli sains dalam mencari makhluk hidup di angkasa lepas.

Ringkasnya, makhluk hidup di angkasa lepas boleh dijejaki dengan mengesan habitat-habitat di angkasa lepas. Habitat-habitat di angkasa lepas boleh dicari dengan mengesan usikan makhluk hidup ke atas persekitaran mereka, atau apa yang dinamakan sebagai bukti bio-petanda (biosignatures) pada jasad-jasad cakerawala.

PENDEKATAN KEDUA

Pendekatan kedua untuk menjawab soalan “Wujudkah makhluk hidup di angkasa lepas?” adalah lebih tuntas.

Jikalau makhluk hidup yang dimaksudkan adalah makhluk cerdas, maka berkemungkinan besar, mereka telah terlebih dahulu muncul, berevolusi dan membangunkan peradaban berbanding kita di Bumi.

Ramalan ini berpandukan beberapa fakta yang kita ketahui tentang sejarah alam semesta dan sejarah makhluk hidup di planet Bumi: alam semesta dibentuk kira-kira 14 ribu juta tahun, planet Bumi dibentuk 4 ribu juta tahun lalu, hidupan paling purba muncul dalam rekod fossil kira-kira 3 ribu juta tahun lalu, manakala peradaban manusia hanya terbit kira-kira ribuan tahun lalu. Justeru, untuk kebanyakan tempoh sejarah planet Bumi, ianya telah dihuni oleh makhluk hidup selain manusia, samada mikroorganisma, tumbuhan dan haiwan. Manusia merupakan watak terakhir yang memasuki pentas sejarah alam semesta.

Sekiranya makhluk cerdas ini telah terlebih dahulu membangunkan peradaban mereka, maka tidak mustahil mereka akan mencapai tahap teknologi yang melampaui tahap pencapaian peradaban kita pada masa kini.

Justeru, daripada perspektif mereka, peradaban manusia di Bumi merupakan peradaban yang masih berada pada tahap kemajuan dan kematangan yang rendah, dan cubaan untuk berhubung dengan kita seumpama cubaan kita untuk mengadakan dialog falsafah dengan kaum semut. Sekiranya tekaan kita ini tepat, maka tidaklah menghairankan jika makhluk cerdas ini memilih untuk tidak berhubung dengan kita dan sebaliknya berpuas hati untuk membiarkan kita bersendirian sehinggalah kita cukup maju dan cukup matang untuk menyertai dialog warga semesta.

Apabila ditanya mengapa makhluk asing masih belum menyiar dan berhubung dengan kita di Bumi, Arthur Clarke, seorang pengarang cereka sains, membandingkan makhluk asing dengan seseorang yang sedang berlari di sebuah pantai tanpa berhenti untuk meneliti setiap butiran pasir di pantai tersebut. Kita di Bumi tidak dihubungi oleh makhluk cerdas kerana kita tidak begitu menonjol pada tanggapan mereka.

Sebaliknya, jikalau makhluk hidup yang dimaksudkan adalah makhluk ringkas dan tidak mempamerkan bukti kecerdasan (misalnya, mikrob), maka kita tidak akan dapat menemukan mereka sehinggalah kita berjaya melawati sendiri habitat mereka dan membawa pulang sampel dari habitat tersebut ke Bumi untuk dianalisis, memandangkan makhluk hidup bukan cerdas tidak mampu membangunkan teknologi untuk bertukar-tukar pesanan elektromagnet dengan kita.

Setakat ini, manusia hanya berjaya membawa pulang batuan dari Bulan sewaktu misi-misi penerokaan Bumi oleh Amerika Syarikat pada tahun 1970-an. Kita juga telah menemui ketulan tahi bintang yang berasal-usul dari planet Marikh yang ditendang keluar dari planet tersebut, melintasi jarak Marikh dan Bumi, sebelum akhirnya jatuh ke permukaan Bumi. Penelitian ke atas kesemua artifak dari dunia-dunia asing ini belum membuahkan bukti kukuh yang mengesahkan dengan pasti kewujudan makhluk hidup di angkasa lepas.

Begitulah beberapa senario utama berkenaan kewujudan makhluk hidup di angkasa lepas yang sedang giat diteroka oleh ahli astrobiologi:

Pertama, tiada makhluk hidup di alam semesta selain yang menghuni planet Bumi; kedua, terdapat makhluk hidup di alam semesta tetapi mereka bukan cerdas, justeru tidak dapat berhubung dengan kita di Bumi; ketiga, terdapat makhluk hidup yang cerdas di alam semesta tetapi mereka memilih untuk memencilkan diri sendiri, atau memulaukan kita di Bumi, atau mereka telah lama pupus.

Usaha untuk mengenalpasti senario yang mana satukah yang benar merupakan salah satu impian luhur penyelidikan astronomi moden. Dan kepastian itu hanya boleh diperolehi hanya jika kita terus mencari.

Kongsikan artikel ini: