Pasukan Malaysia Rangkul Satu Pingat Perak dan Dua Pingat Gangsa Dalam International Physics Olympiad (IPHO) 2023

Laporan Oleh: Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil

Penyelaras dan Ketua Pasukan Negara, Jawatankuasa Olimpiad Fizik Malaysia
Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Ahli pasukan Malaysia telah berjaya memperolehi satu pingat perak dan dua pingat gangsa dalam pertandingan International Physics Olympiad (IPhO) 2023 yang berlangsung di Tokyo dari 9 sehingga 17 Julai 2023. Jepun merupakan tuan rumah bagi IPhO 2023.

Saudara Ong Zhi Zheng (18 tahun) dari INTI International College, Pulau Pinang telah mendapat pingat perak, manakala saudara Chang Kian Yau (19 tahun) dari Sunway College, Selangor dan saudara Wong Jian Bin (17 tahun) dari Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur telah mendapat pingat gangsa.

Pertandingan International Physics Olympiad merupakan pertandingan terulung dalam bidang fizik yang melibatkan para pelajar sekolah menengah daripada 82 buah negara dari seluruh dunia.

Para peserta akan bersaing secara individu untuk menyelesaikan masalah fizik bertaraf universiti dalam ujian amali (dua eksperimen dalam tempoh lima jam) dan ujian teori (tiga soalan dalam tempoh lima jam).

Untuk IPhO 2023, para peserta berpeluang melakukan eksperimen melibatkan tetimbang elektromekanik dan menentukan ketebalan bahan menggunakan fenomena dwibiasan (birefringence). Dalam ujian teori pula, para peserta meneroka sifat koloid dan kegunaannya dalam proses penapisan air, menimbang jisim sebutir bintang neutron menggunakan gelombang kegravitian, dan konsep fizik di sebalik celupan jasad ke dalam air. 

Pasukan negara ke IPhO 2023 terdiri daripada lima orang pelajar, iaitu:

  1. Ong Zhi Zheng dari INTI International College, Pulau Pinang,
  2. Chang Kian Yau dari Sunway College, Selangor,
  3. Mohammad Syakir Fahmie Sofyan dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, Kuala Lumpur,
  4. Phuah Jun Xi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning, Selangor, dan
  5. Wong Jian Bin dari Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur,

dan dipimpin oleh dua orang ketua pasukan, iaitu:

  1. Encik Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil, pensyarah Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan
  2. Encik Loh Chee Kwong, pensyarah Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Sabah.

Setakat ini, pasukan Malaysia telah berjaya mengutip satu pingat emas (2011), dua pingat perak (2023, 2008), 16 pingat gangsa (2023, 2022, 2019, 2018, 2017, 2016, 2013, 2010, 2007, 2006, 2005) dan 30 sanjungan kehormat. Penyertaan pertama pasukan Malaysia adalah pada tahun 2002.

RAJAH 1. Senarai pungutan pingat untuk pasukan Malaysia di IPhO 2002 sehingga IPhO 2023.
Singkatan “HM” merujuk kepada Sanjungan Kehormat (Honorable Mention). Pasukan negara tidak menyertai IPhO pada tahun 2003, 2009 dan 2021 akibat wabak.

Proses saringan dan latihan pasukan negara dalam IPhO dikendalikan oleh Jawatankuasa Olimpiad Fizik Malaysia (OFM) yang berpusat di Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jawatankuasa Olimpiad Fizik Malaysia ini terdiri daripada para pensyarah program fizik, dan guru-guru fizik tingkatan enam, selain wakil-wakil daripada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia; Program Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM); dan Kolej MARA Banting.

Garis masa proses saringan dan latihan pasukan negara untuk tahun 2023 adalah seperti berikut:

Mulai tahun ini, barisan jurulatih juga melibatkan bekas wakil negara ke IPhO yang lepas selain daripada guru fizik tingkatan enam dan pensyarah fizik, antaranya:

  1. Puan Chin Mai Ying, bekas guru fizik tingkatan Kolej Tingkatan Enam Zainal Abidin, Pulau Pinang.
  2. Cik Chan Phaik Ying, guru tingkatan enam SMJK Chung Hwa Confucian, Pulau Pinang.
  3. Encik Loh Chee Kwong, pensyarah Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Sabah.
  4. Encik Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil, pensyarah Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.
  5. Tan Soon Wah, mahasiswa fizik Universiti Malaya.
  6. Lai Jian Hao, mahasiswa fizik Universiti Sains Malaysia.

IPhO 2024 bakal diadakan di Isfahan, Iran dari 21 sehingga 29 Julai 2024.

Foto-foto sepanjang pertandingan.  Untuk melihat lebih banyak gambar, boleh mengikuti instagram ipho.malaysia

Gambar 1. Ahli pasukan negara ke IPhO 2023 sewaktu majlis pembukaan. Dari kiri ke kanan: Encik Loh Chee Kwong, Mohammad Syakir Fahmie Sofyan, Ong Zhi Zheng, Chang Kian Yau, Wong Jian Bin, Phuah Jun Xi, Encik Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil.
Gambar 2. Ahli pasukan negara ke IPhO 2023 sewaktu majlis penutup. Dari kiri ke kanan: Encik Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil, Phuah Jun Xi, Wong Jian Bin, Ong Zhi Zheng, Chang Kian Yau, Mohammad Syakir Fahmie Sofyan, Encik Loh Chee Kwong.
Gambar 3: Ahli pasukan negara ke IPhO 2023 sewaktu majlis penutup.
Gambar 4: Ahli pasukan negara ke IPhO 2023 sewaktu majlis penutup.
Kongsikan artikel ini: