J. Robert Oppenheimer: Bapa Bom Atom

(Diterbitkan semula dari MajalahSains.com)

Penulis: Ahmad Hazazi Ahmad Sumadi

Berbadan cengkung, kurus, tinggi dan mempunyai sepasang mata yang tajam. Beliau jarang berenggang dengan rokok atau paip. Itulah sosok yang dimiliki oleh Julius Robert Oppenheimer menurut Kai Bird dan Martin J Sherwin dalam sebuah buku biografi tulisan mereka berjudul American Prometheus : The Triumph and Tragedy of J. Robert. Oppenheimer. Lihat sahajalah di mana-mana sahaja gambar beliau terpampang baik di media, dalam biografi, internet dan makalah-makalah yang berkaitan dengannya, Oppenheimer jarang berpisah dengan rokok.

Julius Robert Oppenheimer atau dikenali juga sebagai Oppie oleh rakan-rakan terdekatnya adalah salah seorang fizikawan yang memberi sumbangan penting dalam fizik teori dengan teori dikenali dengan istilah Born-Oppenheimer Approximation yang termasuk dalam salah satu topik mekanik quantum. Beliau bersama tokoh fizikawan Jerman, Max Born telah mengemukakan teori tersebut dengan fakta yang memperihalkan nukleus adalah lebih berat berbanding elektron. Disebabkan perbezaan berat jadi pergerakan nukleus adalah lebih perlahan berbanding pergerakan elektron.


Oppenheimer dilahirkan pada 22 April 1904 di New York Amerika Syarikat. Bapanya adalah warganegara Jerman yang berpindah ke Amerika yang mengecapi kejayaan dan beroleh kekayaan melalui perusahaan industri tekstil. Ibunya pula adalah warganegara Amerika yang mempunyai latar belakang sebagai seorang pelukis dan pernah menuntut di Paris. Oppie dan abangnya, Frank Oppenheimer telah dibesarkan dalam keadaan yang selesa berbanding orang lain. Kedua beradik ini mula bersekolah di Ethical Culture School dari pendidikan awal sehingga ke pendidikan tinggi. Beliau bukan hanya mempelajari matematik dan sains tetapi juga mempelajari bahasa Yunani, Latin, Perancis dan Jerman. Beliau telah menamatkan zaman persekolahannya pada tahun 1921.

Beliau seronok mempelajari bahasa dan berjaya menguasainya dengan pantas hanya kerana untuk membaca sesuatu karya yang ditulis dalam bahasa aslinya bukan melalui penterjemahan. Beliau juga mempelajari bahasa Belanda selama 6 minggu bertujuan untuk membentangkan kertas kerja penyelidikannya di Belanda. Selain bahasa, sains dan matematik, Oppie juga menunjukkan minat dalam bidang falsafah klasik. Selepas tamat persekolahan, Oppie telah berjaya menempatkan dirinya di Universiti Harvard untuk menyambung pengajian ijazah pertamanya. Selain pintar dalam fizik dan kimia beliau juga mendaftar untuk mengikuti pengajian bahasa, puisi dan mengembangkan minatnya dalam Falsafah Ketimuran (Oriental Philosophy).


Oppie adalah seorang yang kuat, tinggi, kurus, bercita-cita tinggi dan tekun menjalankan penyelidikan. Beliau memperoleh ijazah kedoktorannya di Jerman selepas lulus ijazah pertama dari Harvard. Disebabkan merasakan masih belum puas dan ingin mendalami ilmu dengan lebih mendalam, beliau kemudian  berangkat ke Universiti Cambridge bagi menjalankan penyelidikan di bawah bimbingan saintis tersohor  Ernest Rutherford. Pada pada tahun 1929 beliau kembali ke Amerika Syarikat dan berkhidmat di Berkeley dan Caltech. Robert J. Oppenheimer adalah seorang guru yang luar biasa dan seorang ahli fizik teori yang hebat. Analisis dan ramalannya banyak digunakan oleh saintis-saintis selepasnya untuk menemukan beberapa zarah asas fizik zarah keunsuran seperti neutron, positron, meson, dan bintang-bintang neutron.

Oleh kerana terlalu asyik dan fokus dalam penyelidikan dan dunia fizik teori, beliau sering mengabaikan dirinya dari “dunia nyata” di zamannya pada waktu itu. Sekitar awal 1930-an, dunia sedang berkecamuk dengan perang dan Oppie sememangnya membenci perang. Namun selepas bangkitnya sistem pemerintahan diktator pelampau pada tahun 1930-an, perang mula menarik perhatiannya dan beliau mula memberi tumpuan untuk menyumbang sesuatu sebagai usaha untuk menamatkan Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1939, Niels Bohr mendedahkan maklumat penting kepada AS bahawa Jerman telah berjaya memisahkan atom. Natijah daripada berita kejayaan pihak Jerman tersebut, tentera Nazi  telah memulakan projek membina senjata nuklear. Bohr telah meyakinkan Presiden Roosevelt untuk menjalankan Projek Manhattan pada tahun 1941, maka pada Jun 1942 Oppie dilantik untuk mengetuai projek rahsia tersebut. Penyelidikan peringkat awal dijalankan di Universiti Columbia, Universiti Chicago, dan di Oak Ridge, Tennessee, namun pada masa yang sama Oppie berjaya meyakinkan pihak pentadbiran tertinggi AS untuk menubuhkan stesen penyelidikan baru di Los Alamos, New Mexico. Di sana beliau memberi idea-idea dan sumbangan penting bidang fizik melalui pengetahuan dan pengalamannya dalam menyelesaikan masalah dalam projek menghasilkan bom atom.

Beliau akhirnya mengetuai lebih daripada tiga ribu orang termasuk saintis, pekerja teknikal dan orang-orang yang terlibat dalam Projek Manhattan  untuk menyelesaikan hal-hal yang berkaitan dengan teori, dan proses mekanis dalam projek tersebut. Projek Manhattan telah berjaya menghasilkan bom berkuasa nuklear dan ledakan bom nuklear yang pertama berlaku di dunia ialah di gurun New Mexico pada 16 Julai 1945. Ledakan itu setara dengan 20.000 ton dinamit. Selepas berjaya menguji bom atom tersebut, dalam masa sebulan selepas itu, dua bandaraya di Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki, menjadi sasaran bom atom yang dikenali dengan nama Little Boy dan Fat Man. Jepun menyerah kalah pada 10 Ogos 1945.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Oppie dilantik menjadi pengarah Institute for Advanced Study di Princeton pada tahun 1947. Beliau juga menjadi pengerusi Jawatankuasa Penasihat Umum dalam Suruhanjaya Tenaga Atom, atau AEC, dari tahun 1947 hingga 1952. Sejak dilantik ke badan tersebut, beliau mula menentang sebarang pembangunan bom dan senjata yang berkuasa nuclear, dan mula membenci kekejaman perang yang mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki.

Oppie juga menentang projek pengembangan bom hidrogen yang jauh lebih dasyat akibatnya jika dibandingkan dengan bom atom. Ketika Presiden Truman meluluskan tentang projek pembangunan bom hidrogen, walaupun tidak membantah, Oppie pada awalnya enggan bersetuju dengan pentadbiran AS.  Pada tahun 1953, ketika kemuncak tunjuk perasaan anti kerajaan Amerika Syarikat, Oppie dituduh telah mendapat simpati pihak komunis, dan jaminan keselamatan (security clearance) diri dibatalkan. Kontraknya dengan Suruhanjaya Tenaga Atom juga dibatalkan dan  beliau juga dituduh oleh pihak keselamatan memiliki ramai rakan yang berfahaman komunis yang mempengaruhi tindakannya. Komuniti saintifik berkumpul untuk memberi sokongan dan ia menjadi salah satu simbol dari seorang saintis cuba untuk menyelesaikan masalah-masalah moral yang timbul daripada penemuan-penemuan saintifik.

Di tahun-tahun terakhir kehidupannya, beliau banyak berfikir dan menulis tentang masalah moral golongan intelektual dan juga menikmati tahun-tahun akhirnya dengan memfokuskan pada hubungan antara sains dan masyarakat. Di atas kejayaannya sepanjang bergelar saintis dan penglibatannya dalam Projek Manhattan, Oppie telah dianugerahi The Enrico Fermi Award daripada Pesuruhjaya Tenaga Atom. Beliau meninggal dunia kerana menghidapi barah tekak pada tahun 1967.

Rujukan:

  1. Bird dan M.J Sherwin, American Prometheus : The Triumph and Tragedy of J. Robert. Oppenheimer, ‎ Vintage Books; Reprint edition.
  2. Walter Isaacson, Einstein: Jagat Kehidupan dan Pemikiran, terj. oleh IBDE.
Kongsikan artikel ini: